Sunday, November 8, 2009

Nasihat untuk yang mendengar fitnah & hasutan

Apakah yang perlu dilakukan jika seseorang disampaikan kepadanya cerita yang berbau fitnah hasutan?

Al-Imam Al-Ghazali menegaskan, setiap orang yang diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar fitnah hasutan, umpamanya diceritakan kepadanya: “Si anu mengatakan kamu begini begini”, maka hendaklah dia mengambil enam tindakan di bawah ini:

1) Tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana pengadu domba itu adalah orang fasiq, dan orang fasiq itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.

2) Melarang perbuatannya itu serta memberinya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

3) Membencinya kerana Allah, sebab Allah Ta‘ala amat membenci pengadu domba, dan membenci kerana Allah ketika itu adalah suatu kewajipan.

4) Jangan sekali-kali berperasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, kerana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

5) Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, sebab Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

6) Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar Abdul bin Aziz Radhiallahu ‘anhu, dia menceritakan sesuatu tentang seorang lelaki lain, lalu Umar Abdul Aziz berkata: “Jika kamu mahu diperiksa, kami akan memeriksa ceritamu itu. Jika ternyata kamu berdusta, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 6)

Jika kamu benar dalam menyampaikan cerita ini, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).”

(Surah Al-Qalam, ayat 11)

Jika kamu mahu minta maaf, kami sedia memaafkan kamu.” Lelaki itu pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak akan mengulangi perbuatanku ini selama-lamanya.”

ana: sedang berusaha menjadi insan kamil

No comments:

Post a Comment